Kumpulan Sajak Amir Hamzah


CEMPAKA

Cempaka, aduhai bunga penghibur lara

tempat cinta duduk bersemayam

sampaikan pelukku, wahai kusuma

pada adinda setiap malam.

 Sungguh harum sedap malam

sungguh pelik bunga kemboja

tetapi tuan, aduhai pualam

pakaian adinda setiap masa.

 Sungguh tak kelihatan ia berbunga

cemp[aka tersembunyi dalam sanggul

tetapi harumnya, aduhai kelana

di dalam rambut duduk tersimpul.

 Amat bersahaja cempaka bunga

putih arona, hijau nen tampuk

pantas benar suntingan adinda

terlebih pula di sanggul duduk.

 

CEMPAKA MULIA

Kalau kulihat tuan, wahai suma

kelopak terkembang harum terserak

hatiku layu sejuk segala

rasakan badan tiada dapat bergerak

Tuan tumbuh tuan hamba kembang

di negeriku sana di kuburan abang

kemboja bunga rayuan

hatiku kechu melihat tuan

Bilamana beta telah berpulang

wah, semboja siapatah kembang

di atas kuburku, si dagang layang?

Kemboja, kemboja bunga rayuan

hendakkah tuan menebarkan bibit

barang sebiji di atas pangkuan

musafir lata malang berakit?

Melur takku mahu

mawar takku suka,

sebab semboja dari dahulu

telah kembang di kubur bonda

kemboja bunga rayuan

musafir anak Sumatera

Pulau Perca tempat pangkuan

bilamana fakir telah tiada

 

PURNAMA RAYA

Purnama raya. bulan bercahaya

amat cuaca. ke mayapada

Purnama raya. gemala berdendang

tuan berkata. naiklah abang

Purnama raya. bujang berbangsi

kanda mara. memeluk dewi

Purnama raya. bunda mengulik

nyawa adinda. tuan berbisik.

Purnama raya. gadis menutuk

setangan kuraba. pintu diketuk

Purnama raya. bulan bercengkerama

beta berkata. tinggallah nyawa

Purnama raya. kelihatan jarum

adinda mara. kanda dicium

BUAH RINDU

          1

Dikau sambur limbur pada senja

dikau alkamar purnama raya

asalkan kanda bergurau senda

dengan adinda tajuk mahkota.

Dituan rama-rama melayang

didinda dendang sayang

asalkan kandaa selang-menyelang

melihat adinda kekasih abang.

Ibu, seruku ini laksana pemburu

memikat perkutut di pohon ru

sepantun swara laguan rindu

menangisi kelana berhati mutu.

Kelana jauh duduk merantau

di balik gunung dewala hijau

di Seberang laut cermin silau

Tanah Jawa mahkota pulau…

Buah kenanganku entah ke mana

lalu mengembara ke sini sana

haram berkata sepatah jua

ia lalu meninggalkan beta.

ibu, lihatlah anakmu muda belia

setiap waktu sepanjang masa

duduk termenung berhati duka

laksana Asmara kehilangan seroja.

Bonda waktu tuan melahirkan beta

pada subuh kembang cempaka

adakah ibu menaruh sangka

bahawa begini peminta anakda?

Wah kalau begini naga-naganya

kayu basah dimakan api

aduh kalau begini laku rupanya

tentulah badan lekaslah fani.

 

Purnama raya

cuaca benderang

permata kekanda

pulanglah abang…

 

BUAH RINDU
         2
 
Datanglah engkau wahai maut
lepaskan aku dari nestapa
engkeu lagi tempatku berpaut
di waktu ini gelap gulita.
 
Kicau murai tiada merdu
pada beta bujang Melayu
himbau pungguk tiada merindu
dalam telinganku seperti dahulu.
 
Tuan aduhai mega berarak
yang meliputi dewangga raya
berhentilah tuan di atas teratak
anak langkat musafir lata.
 
Sesaat sekejap mata beta berpesan
padamu tuan aduhai awan
arah menatah tuan berjalan
di negeri manatah tuan bertahan?
 
Sampaikan rinduku pada adinda
bisikkan rayuanku pada juita
liputi lututnya muda kencana
serupa beta memeluk dia.
 
Ibu, konon jauh tanah Selindung
tempat gadis duduk berjuntai
bonda hajat hati memeluk gunung
apatah daya tangan tak sampai.
 
Elang, Rajawali burung angkasa
turunlah tuan barang sementara
beta bertanya sepatah kata
adakah tuan melihat adinda?
 
mega telahku sapa
mergastua telahku tanya
maut telahku puja
tetapi adinda manatah dia!
 
 
BUAH RINDU

   3

Puspa cempaka konon kirimkan

pada arus lari ke laut

akan duta kanda jadikan

pada adinda kasih terpaut.

Teja bunga seroja dalam taman

kemala hijau di atas mahkota

orang berikan pada kekanda

tiada kuambil kerana tuan.

Adakah gemerlapan bagi kemala

adakah harum lagi seroja

pada beta tumpuan duka

sebab tuan lalu mengembara.

Tuan lalu tiada berkata

haram sepatah sepantun duli

kanda tinggal sepenuh wangsangka

pilu belas di dalam hati.

Hatiku rindu bukan kepalang

dendam beralik berulang-ulang

air mata bercucur selang-menyelang

mengenangkan adik kekasih abang.

Diriku lemah anggotaku layu

rasakan cinta bertalu-talu

kalau begini datangnya selalu

tentunya kekanda berpulang dahulu.

Tinggalah tuan, tinggalah nyawa

tinggal juita tajuk mahkota

kanda lalu menghadap “dewata”

bertelut di bawah cerpu Maulana.

Kanda pohonkan tuan selamat

ke bawah kaus dewata rahmat

moga-moga tuan hendaklah mendapat

kesukaan hidup ganda berlipat.

 

BUAH RINDU

    4

Kalau kekanda duduk menyembah

duli dewata mulia raya

kanda pohonkan untung yang indah

kepada tuan wahai adinda.

Kanda puja dewa asmara

merestui remaja adik kekanda

hendaklah ia sepanjang masa

mengasihi tuan intan kemala

Anak busurnya kanda gantungi

dengan seroja suntingan hauri

badannya dewa kanda lengkapi

dengan busur sedia di jari.

Setelah itu kandapun puja

dewata mulia di puncak angkasa

memohonkan rahman beribu ganda

ia tumpahkan kepada adinda.

Tinggallah tuan tinggallah nyawa

sepanjang hari segenap masa

pikiran kanda hanyalah kemala

dilindungi Tuhan Maha Kuasa.

Baik-baik adindaku tinggal

aduhai kekasih emas tempawan

kasih kanda demi Allah kekal

kepada tuan emas rayuan…..

Kalau mega berarak lalu

bayu berhembus sepoi basah

ingatlah tuan kanda merayu

mengenangkan nasib salah tarah.

Kalau hujang turun rintik

laksana air mata jatuh mengalir

itulah kanda teringatkan adik

duduk termenung berhati khuatir

 

 

HANG TUAH

 

Bayu berpuput alun digulung

banyu direbut buih dibubung

 

Selat Melaka ombaknya memecah

pukul-memukul belah membelah

 

Bahtera ditepuk buritan dilanda

penjajab dihanatuk haluan ditunda

 

Chamar terbang riuh suara

alkamar hilang menyelam segera.

 

Armada Peringgi lari bersusun

Melaka negeri hendak diruntun.

 

Galyas dan pusta tinggi dan kukuh

pantas dan angkara ranggi dan angkuh

 

Melaka! laksana kehilangan bapa

randa! sibuk mencari cendera mata!

 

“Hang Tuah ! Hang Tuah! di mana dia

 panggilkan aku kesuma perwira!”

 

Tuanku, sultan Melaka, Maharaja Bintan!

dengarkan kata bentara kanan.

 

“Tun Tuah, di Majapahit nama termashur

badanya sakit rasakan hancur!”

 

Wah, alahlah rupanya negara Melaka

kerana laksamana ditimpa mara.

 

Tetapi engkau wahai kasturi

kujadikan suluh, mampukah diri?

 

Hujan rintik membasahi bumi

guruh mendayu menyedihkan hati.

 

Keluarlah suluh menyusun pantai

angkatan Pertugal hajat dinintai.

 

Chucuk diserang ditikami seligi

sauh terbang dilembari sekali.

 

Lela dipasang gemuruh suara

rasakan terbang ruh dan nyawa.

 

Suluh Melaka jumlahnya kecil

undur segera mana yang tampil.

 

“Tuanku, armada Peringgi sudahlah dekat

kita keluari dengan cepat.

 

Hang Tuah cuba lihati

apakah ‘afiat rasanya diri?’

 

Laksamana Hang Tuah mendengar berita

Armada Peringgi duduk di kuala.

 

Mintak didirikan dengan segera

hendak berjalan ke hadapan raja.

 

Bukankah itu laksamana sendiri

Negeri Melaka hidup kembali.

 

Laksamana , cahaya Melaka, bunga pahlawan

kemala setia maralah tuan.

 

Tuanku, jadikan patik tolak bala

turunkan angkatan dengan segera.

 

Genderang perang disuruhnya palu

memanggil imbang iramanya tentu.

 

Keluarlah laksamana mahkota ratu

tinggallah Melaka di dalam ragu...

 

Marya! marya! tempik Peringgi

lelapun meletup berganti-ganti.

 

Terang cuaca berganti kelam

bujang Melaka menjadi geram.

 

Galyas dilanda pusta dirampat

Sabas Melaka su’ma di Selat !

 

Amuk-beramuk buru-memburu

“Tusuk-menusuk laru-melaru.

 

Lela rentaka berputar-putar

cahaya senjata bersinar-sinar.

 

Laksamana mengamuk di atas pusta

Yu menyambar umpamanya nyata…

 

Hijau segara bertukar warna

sinau senjata pengantar nyawa.

 

Hang Tuah empat berkawan

serangnya hebat tiada tertahan.

 

Chukuk Peringgi menarik layar

induk dicari tempat terhindar.

 

Angkatan besar maju segera

mendapatkan payar ratu Melaka.

 

Perang ramai berlipat ganda

pencalang berai tempat kesegala.

 

Dang Gubenur memasang lela

umpama guntur diterang cuaca.

 

Peluru terbang menuju bahtera

Laksamana dijulang ke dalam segara…

Tinggalkan komentar

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Buat situs web atau blog gratis di WordPress.com.

%d blogger menyukai ini: